Wednesday, September 24, 2014

11:34:00 AM

Pernahkah anda sebagai ibu terfikir untuk memberikan makanan yang berperisa kepada bayi? Tentu sesekali pernah terlintas di fikiran anda untuk menambahkan sedikit perisa dalam makanan yang dimasak untuk si manja. Apatah lagi sekiranya bayi comel anda seperti enggan makan apabila disuap.
Kebanyakan doktor mengesyorkan supaya menunggu sehingga bayi berusia lapan bulan sebelum memperkenalkan rempah-rempah ke dalam makanannya. Ini adalah untuk mengelakkan masalah sakit perut serta reaksi alergi.
Walau bagaimanapun,di ingatkan supaya anda tidak tergesa-gesa memperkenalkan makanan berempah kepada bayi. Sekiranya anda biasa memakan makanan berempah semasa menyusukan bayi, dia mungkin telah biasa dengan rasa rempah.
Rempah bukan sahaja merujuk kepada bahan masakan yang pedas seperti cili dan lada hitam sahaja tetapi termasuk bawang putih, halia, jintan, ketumbar,halba, kunyit dan sebagainya. Herba dan rempah bukan sahaja menyedapkan masakan tetapi ia ada faedah kepada kesihatan.
Misalnya, halia, jintan manis, jintan putih digunakan dalam rawatan tradisional India untuk menenangkan perut kembung dan membantu pencernaan sementara bawang putih dan kunyit pula bersifat antiseptik dan antioksida.
Perkenalkan rempah-rempah tersebut satu persatu dalam kuantiti yang sangat sedikit. Beri tempoh masa sehingga seminggu sebelum memperkenalkan rempah baharu dalam menu bayi anda. Dengan cara ini, sekiranya ada sebarang reaksi atau alahan, anda boleh mengenal pasti sumbernya dengan serta merta.
Berikut adalah cara memperkenalkan rempah kepada bayi anda:
*Seulas bawang putih atau sepotong kecil halia boleh diparut dan dimasukkan ke dalam hidangan seperti ayam yang disiat-siat atau dal ketika sedang dimasak .
*Rempah serbuk seperti kunyit, jintan putih dan ketumbar boleh ditambah sedikit ke dalam kuah semasa memasak.
*Sedikit biji-bijian seperti jintan manis dan biji sawi boleh ditumis dengan sesudu kecil minyak sapi sebagai perisa untuk dal, nasi dan sayur goreng.
*Secubit serbuk kayu manis, buah pala atau serbuk buah pelaga boleh dimasukkan ke dalam mufin atau pencuci mulut dan manisan lain.
*Herba segar seperti pudina dan daun ketumbar boleh digunakan sebagai bahan hiasan untuk hidangan sayur goreng, kari dan nasi.
Selepas anak anda berusia 18 bulan dan sekiranya dia tahan makan makanan berempah, rempah-rempah pedas boleh diperkenalkan. Tambahkan rempah seperti cili dan lada hitam dalam kuantiti yang sangat sedikit. Berhati-hati jika menggunakan cili hijau segar dan serbuk cili mentah. Lidah dan perut anak yang sensitif mungkin tidak dapat menerimanya. Anda boleh mengimbangkan rasa pedas cili dengan mencampurkan dadih ke dalam masakan itu.
Gunalah rempah daripada jenama yang dipercayai dan mempunyai sijil yang diiktiraf oleh kerajaan atau badan kesihatan. Pastikan tidak menggunakan rempah yang sudah luput tarikhnya.

Sumber : PaMa

0 comments:

Post a Comment