Tuesday, October 14, 2014

10:38:00 AM


Ramai bayi yang memberi senyuman pertama kepada ibu bapa mereka apabila mereka berusia di antara enam dan lapan minggu. Walau bagaimanapun, bayi anda mungkin mula senyum sebelum atau selepas waktu ini.

Bayi anda mahu berkomunikasi dengan anda dan mengekspresikan perasaannya sejak detik dia dilahirkan lagi. Dan dia cepat belajar! Bayi anda akan cuba meniru ekspresi muka anda sejurus selepas lahir.

Bayi membuat ekspresi muka apabila mereka di dalam rahim (uterus) lagi dan dia mungkin berlatih berbulan-bulan sebelum lahir. Jadi jika bayi anda yang baru lahir merenung muka anda dengan mata yang bulat dan kelihatan berminat, dia mungkin akan memberi respon jika anda senyum.

Jika anda mahu menggalakkan bayi anda supaya senyum dan berkomunikasi dengan anda, carilah waktu apabila dia dalam keadaan tenang, awas dan matanya bercahaya.

Pegang bayi menghadap anda, dengan jarak muka anda kira-kira 30cm daripada mukanya, dan bercakaplah dengannya. Jika bayi anda kelihatan tidak selesa pada jarak itu, cuba jarakkan muka anda sedikit lagi.

Sesetengah bayi mungkin tidak rasa hendak senyum jika koordinasi pergerakan mereka masih belum mantap. Begitu juga, jika mereka tidak selesa dan asyik merengek, atau jika mereka sakit perut, mereka mungkin tidak mahu berinteraksi. Jika bayi anda dalam keadaan ini, dia memerlukan bantuan anda untuk rasa lebih baik dan tenang.

Walau bagaimanapun, anda mungkin masih boleh mencari masa beberapa minit apabila bayi anda merenung dan memeriksa muka anda dengan penuh minat. Inilah masanya dia mungkin mula tersenyum. Mula-mula dia mungkin merenung anda lama-lama, jadi teruslah bercakap dengannya dan dia mungkin akan menghadiahkan anda satu senyuman!

Sumber : BabyCenter

0 comments:

Post a Comment