Tuesday, November 11, 2014

2:04:00 PM

Kadang kala ia seperti aksesori untuk semua bayi yang sudah mencecah usia enam bulan ke atas. Teether dikatakan boleh mengurangkan kegatalan gusi yang dialami oleh si kecil yang mula hendak tumbuh gigi.
Oleh kerana rasa kurang selesa akibat sel pertumbuhan pada gigi, bayi suka menggigit gusi ataupun sesuatu untuk menghilangkan rasa tidak selesa tersebut.  Ketika fasa ini bayi biasanya akan memasukkan objek yang dapat dipegang ke dalam mulutnya.
Bayi juga akan mengeluarkan air liur dalam jumlah lebih daripada biasa. Oleh kerana si kecil gemar menggigit, untuk mengalihkan rasa sakit dan gatal gusi yang dialami, ibu biasanya akan memberikan alat yang dinamakan teether. Teether sememangnya dicipta bagi membantu mengurangkan kegatalan gusi bayi. Bayi boleh menggigit teether tersebut bagi meredakan ketidakselesaan yang dialami.
Mungkin yang baharu bergelar ibu bapa akan tertanya-tanya, adakah selamt jika memberikan teether kepada bayi? Jangan bimbang kerana teether selamat digunakan oleh bayi. Ini kerana si kecil boleh menggigit teether yang memang dicipta khusus untuk kegunaan gusi bayi. Gigi bayi juga sememangnya memerlukan rangsangan kerana baru mula hendak tumbuh.
Ada yang beranggapan teether boleh merangsang pertumbuhan gigi bayi, benarkah? Memang benar, tetapi seperti yang kita sedia maklum, pertumbuhan gigi si kecil sememangnya sudah ada ‘jadualnya’ sendiri. Gigi susu anak anda pasti akan tumbuh sepenuhnya sehingga dia mencecah usia dua tahun.
Dengan menggigit teether, bayi akan terlatih melakukan pergerakan motorik. Selain membantunya tidak menggigit gusi, anak juga akan belajar menggenggam dan menggerakkan tangannya.
Apabila memilih teether untuk si kecil, pastikan ia diperbuat daripada bahan silikon yang lembut dan selamat digigit. Jangan pilih yang bahannya mudah berkarat. Jangan juga memilih teether yang menyerap air ludah kerana ia akan meninggalkan bau. Pastikan juga anda sentiasa membersihkan teether agar tidak ada kuman yang berkumpul di situ.
Bagi menarik perhatian si manja, kini ada pelbagai rekaan menarik, comel dan berwarna-warni untuk bayi berlatih menggigit dengan gusinya.

Sumber : PaMa

0 comments:

Post a Comment