Saturday, September 13, 2014

Anak kembar beri Puan Anidz ilham Berniaga Online



DIANUGERAHKAN cahaya mata kembar pada kelahiran anak sulungnya membuka minda wanita ini untuk berniaga kecil-kecilan. Meski bersyukur dengan kurniaan itu namun dia mula merasakan cabaran membesarkan dua anak kecil sekali gus.

Ketika itu Anidz Mohd Faidz merasakan kos perbelanjaan terutama dalam penyediaan keperluan harian seperti pakaian anak-anak semakin meningkat, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.

Pun begitu sebagai ibu dia tetap mahu melihat anaknya tampil bergaya dengan pakaian cantik.  Malangnya, kos untuk membeli sepasang baju anak-anak bukanlah murah. Itu belum ditambah dengan keperluan lain seperti botol susu, beg, kasut, barang permainan dan sebagainya.

Jadi, bagi mengelakkan pembaziran terutama pada barang yang tidak digunakan lagi, Anidz cuba mencari jalan menjual semula barang keperluan bayi yang terpakai.

Bermula dengan menjual barang sendiri, dia kemudian menjadikan ia sebagai bisnes yang menguntungkan hingga akhir berjaya memiliki premis sendiri,  Twinlilcupcakes di Plaza Masalam, Shah Alam sejak setahun yang lalu.

“Asalnya, saya jual barang terpakai seperti kereta sorong bayi, pam susu dan sebagainya melalui blog.  Saya buat blog saya sendiri secara sambilan kerana ketika itu saya masih bekerja. 

Dari menjual barang-barang terpakai, saya mula menjual pakaian-pakaian bayi.  Itu pun sebab saya selalu membeli pakaian anak-anak saya secara borong.

“Saya dapati ia lebih murah dan menjimatkan. Biasanya, jualan pakaian secara borong menyediakan setiap saiz daripada saiz untuk umur 1 tahun hingga 5 tahun.  Mana-mana baju yang muat dipakai oleh anak-anak, saya akan ambil.  Selebihnya, mana-mana yang terlalu besar saiznya saya akan jual di blog.

“Sebaik mula membuat blog menjual barangan terpakai, ia pantas mendapat sambutan.  Jika diimbas kembali lima tahun lalu, blog menjadi trend di waktu itu.  Ramai yang rajin datang melihat blog saya, dan akhirnya menjadi salah seorang pengikut setia.

“ Jadi, saya tak rasa begitu sukar untuk mendapat pembeli.  Apa sahaja saya muat naik dalam blog, dalam masa sekejap sahaja ada pembeli yang berminat,” jelas Anidz yang mula serius untuk menjual pakaian-pakaian bayi secara online setelah melihat ia menjanjikan keuntungan dan kejayaan padanya.


Tip berniaga online

Untuk lebih dikenali, Anidz juga rajin untuk mempromosi produk terbaru di blog-blog rakan yang lain. Dia sedar dia tidak boleh bergantung kepada rakan maya lain untuk melawat blognya, sebaliknya perlu rajin untuk melawat blog rakan lain. Usaha ini berhasil bila lama kelamaan, dia memiliki rangkaian rakan maya yang ramai.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana ditemukan dengan cara berniaga secara online seperti ini.  Ia kena pada waktunya iaitu ketika ia menjadi trend. Sebenarnya menjual barangan secara online ini memerlukan seseorang itu pandai memilih barang.

“Kena juga ikut trend semasa.  Kalau tersilap pilih, tak mustahil ia tak berjalan lancar,”ujarnya yang sempat memberikan tip berniaga secara online.

Menurut Anidz lagi dia percaya ramai yang di luar sana yang lebih senang untuk membeli barangan secara online berbanding ke kedai.  Tambahan, kebanyakan barangan yang dijual adalah barangan edisi terhad yang tidak terdapat di kedai-kedai. 

Itu katanya antara faktor  membeli-belah secara online begitu mendapat sambutan.

“ Tidak dinafikan beli belah seperti ini ada kekurangannya sendiri. Sepanjang mengendalikan bisnes secara online, saya juga mengalami masalah terutama yang berkaitan dengan saiz.

Pun begitu, ia bukan suatu masalah yang besar dan ia jarang berlaku.

“Ini kerana, sebelum urus niaga dijalankan, saya menerangkan dahulu mengenai barangan yang dijual dengan teliti.  Contohnya, pakaian bayi, kualiti, jenis kain, dari mana dibeli dan sebagainya diterangkan terlebih dahulu.

Malah saya turut memberikan saranan kepada pembeli-pembeli,”jelasnya yang mendapatkan stok barangan daripada peniaga-peniaga pakaian bayi secara borong melalui online.

“Apabila rangkaian kontak semakin banyak barulah saya mengambil barang-barang lain untuk dijual dari luar negara.  Sekarang ini, saya kerap juga ke negara China untuk membeli stok-stok barangan baru,” tambahnya yang turut menjual skirt kanak-kanak, beg dan banyak lagi untuk anak-anak dari bayi hingga berumur 10 tahun.


Mudahkan ibu bapa

Sambil berniaga secara online, Anidz mengorak langkah berniaga di booth.  Mendapati sambutan semakin menggalakkan, akhirnya Anidz nekad meninggalkan kerjayanya sebagai ???? untuk menumpukan sepenuh masa pada perniagaannya. Setahun yang lalu, setelah berjaya mengumpul modal barulah dia berjaya memiliki kedai sendiri.

“Selepas memerhatikan pasaran saya membuat keputusan untuk menjual barangan keperluan bayi dan ibu yang lengkap di Twinlilcupcakes . Ini kerana, kebanyakan kedai yang menjual barangan bayi sama ada pakaian bayi sahaja atau kanak-kanak.

“Bagi menyediakan semua keperluan yang daripada bayi hingga anak-anak berusia 10 tahun, saya rasa ia satu kelebihan kerana ibu bapa tidak perlu bersusah-payah ke banyak kedai untuk membeli barang keperluan anak-anak,”ujarnya yang turut menjual baju kurung cotton yang mendapat sambutan hangat selain hadiah untuk bayi, barangan keperluan bayi, kereta sorong dan termasuklah barang keperluan ibu.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment