Thursday, September 11, 2014

Tip Atasi Puting Tenggelam


Keluhan yang sering didengar daripada ibu yang semula jadi mempunyai putting tenggelam atau leper adalah sukar untuk menyusukan bayi mereka dengan susu ibu. Penolakan bayi ekoran tidak puas menyusu membuatkan ibu mudah tertekan dan berputus asa untuk terus menyusukan bayi.
Jangan jadikan penghalang dengan kekurangan yang dimiliki, sebenarnya ada cara yang boleh dilakukan ibu bagi membolehkan dia terus menyusukan bayinya. Dianggarkan lebih kurang tiga hingga 10 peratus wanita akan mengalami masalah puting tenggelam atau leper.
Ibu sangat digalakkan memeriksa payu dara bagi memastikan sama ada keadaan puting adalah normal, leper atau tenggelam. Caranya, lakukan pinch test! Dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, picit dengan lembut kawasan aerola pada jarak diameter 1 inci daripada puting.
Puting yang normal akan tertonjol apabila aerola menerima tekanan. Walau bagaimanapun, puting leper tidak tertonjol keluar manakala puting tenggelam pula akan tertarik ke dalam. Setelah mengenal pasti jenis puting anda, yakinlah yang anda boleh menyusukan bayi secara efektif.
Pastikan anda sematkan dalam minda bahawa semasa penyusuan berlangsung, mulut bayi perlu merangkumi seluruh aerola ibu! Oleh itu pastikan bayi melekap dengan sebaiknya. Dengan posisi penyusuan yang betul, proses penyusuan pasti berjalan lancar.
Susukan bayi sebelum payu dara anda bengkak. Ini kerana payu dara yang bengkak bakal merumitkan keadaan apabila puting akan menjadi lebih leper atau tenggelam. Bahkan ibu yang mempunyai puting normal pun akan mengalami masalah yang sama apabila payu dara membengkak.
  1. Ibu mempunyai puting leper atau tenggelam perlu pastikan kedudukan menyusu dan pelekapan bayi betul.  Pelekapan dan posisi penyusuan, agak mencabar bagi anda yang mempunyai masalah puting leper atau tenggelam. Bayi perlu belajar membuka luas mulutnya bagi mendapatkan puting dan merapatkan gusinya pada payu dara.
  1. Menyusu awal dan kerap sekurang-kurangnya setiap dua hingga tiga jam untuk mengelakkan bengkak susu dan memberi peluang bayi berlatih menyusu sekerap mungkin ketika payu dara masih lembut.
  1. Jika bayi meragam ketika anda cuba membantunya melekap pada payu dara, berhenti dan tenangkan dia. Berehat seketika jika perlu. Menyusu sambil berjalan-jalan, dodoi atau gendong bayi sehingga dia kembali tenang.
  1. Ketika belajar menyusukan bayi, elakkan sebarang puting tiruan seperti botol, puting kosong dan perisai puting. Puting tiruan akan mengelirukan bayi dan menjadikan usaha pelekapan yang mencabar itu menjadi lebih sukar.
  1. Ketika cuba menyusukan bayi menerusi puting rata atau tenggelam, anda sangat digalakkan untuk mendapatkan sokongan daripada kaunselor atau pakar laktasi.
  1. Pam payu dara sebelum sesi penyusuan akan membolehkan puting menonjol agar bayi dapat melekap dengan baik.

Sumber : PaMa

No comments:

Post a Comment