Bilakah Harus Saya Memberi Bayi Saya Makanan Selain Daripada Susu Ibu?
Bayi sepatutnya diberi susu ibu sahaja selama sekurang-kurangnya enam bulan. Akan tetapi, untuk mengetahui bilakah masa yang tepat untuk memulakan makanan pejal, anda perlulah melihat perkembangan bayi.
Tanda yang paling ketara yang boleh dilihat ialah bayi masih kelihatan lapar selepas menyusu (lapan hingga 10 kali penyusuan atau 32 oz/946ml susu formula sehari). Bayi anda mungkin kelihatan berminat atau berkelakuan aneh apabila anda makan.
Bayi yang sudah bersedia untuk makan makanan pejal boleh mengangkat dan menyokong berat kepala sendiri. Berat badan bayi sekurang-kurangnya 6kg dan sudah dua kali ganda daripada berat lahir. Bayi menunjukkan sifat ingin tahu tentang dunia sekelilingnya, mengekori objek dengan mata dan tersenyum apabila melihat sesuatu.
Bayi baru lahir akan menolak lidahnya ke luar mulut apabila sesuatu dimasukkan ke dalam mulut. Untuk memberi bayi makanan pejal, bayi perlulah dapat mengatasi refleks tolakan lidah yang kuat yang sedia wujud sejak lahir. Kebanyakan bayi bersedia untuk menerima makanan pejal sekitar usia empat hingga enam bulan. Anda tidak perlu melihat kalendar; cuma perhatikan tanda-tanda perkembangan bayi.
Jika bayi merengek atau tidak menunjukkan minat untuk makan, kembalilah kepada penyusuan secara eksklusif untuk seminggu dua lagi dan cuba sekali lagi. Anda tidak perlu tergesa-gesa sebelum bayi berusia enam bulan.
Soalan dijawab oleh Prof. Madya Dr. Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan, Setiausaha Kehormat Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM).
No comments:
Post a Comment